Jenis-jenis Perlindungan Tambahan untuk Insurans Kereta

Walaupun insurans kereta komprehensif dilihat menyediakan perlindungan menyeluruh, namun ia tidak menawarkan perlindungan untuk beberapa jenis keadaan.

Insurans Kereta

Written by:

Pemilik kereta perlu tahu bahawa meskipun insurans komprehensif dikatakan memberi perlindungan menyeluruh, namun ia tidak menawarkan perlindungan untuk beberapa kejadian seperti kerosakan kereta akibat banjir, cermin kereta retak, kehilangan aksesori kereta dan lain-lain.

Jadi, di sinilah bagaimana perlindungan tambahan ini penting untuk dimasukkan dalam insurans anda. Ia bagi memastikan kenderaan anda mendapatkan perlindungan yang mencukupi dan membantu anda untuk mendapatkan pampasan sewajarnya apabila memerlukan kelak. 

Terdapat banyak perlindungan tambahan yang disediakan oleh syarikat insurans untuk pemilik kereta pilih dan dapatkan. Antaranya:

Perlindungan cermin kereta/ windscreen

Perlindungan tambahan cermin kereta (windscreen)

Cermin kereta adalah antara komponen yang paling terdedah dengan risiko. Dengan memiliki perlindungan tambahan ini, syarikat insurans akan membantu membayar kerugian untuk menggantikan cermin kereta anda yang telah retak, tanpa memberi kesan kepada kadar NCD sedia ada anda.

Premium untuk perlindungan tambahan bagi cermin kereta adalah sekitar 15% daripada jumlah diinsuranskan untuk cermin kereta. Jadi, andai kata harga untuk cermin kereta anda adalah RM800, anda perlu membayar tidak lebih daripada RM120 untuk premium perlindungan ini, setahun.

Perlindungan ini hanya boleh digunakan sekali sahaja sepanjang tempoh polisi.

Perlindungan peril khas (bencana alam)

Perlindungan tambahan bencana alam (peril khas) seperti banjir

Banjir, tanah runtuh, pokok tumbang. Kejadian-kejadian seperti ini mungkin akan berlaku pada bila-bila masa sehingga mungkin turut menyebabkan kerosakan pada kereta anda. 

Justeru, pemilik kereta digalakkan untuk mendapatkan perlindungan tambahan ini bagi memastikan kereta anda dilindungi dengan lebih baik, dan mengurangkan bebanan kos kewangan sekiranya ia berlaku. Perlindungan ini sememangnya mustahak bagi kawasan-kawasan yang sering mengalami banjir.

Pada kebiasaannya, premium bagi perlindungan ini adalah sekitar 0.5% daripada jumlah diinsuranskan, namun ia mungkin berbeza mengikut syarikat insurans dan pengendali Takaful.

Perlindungan pemandu tambahan

Perlindungan pemandu tambahan

Sekiranya kereta yang dilindungi sering dipandu oleh orang lain selain pemilik kereta, perlindungan ini amatlah penting untuk memastikan perlindungan yang lengkap. 

Tanpa perlindungan ini, sekiranya kereta terlibat dalam kemalangan semasa ia dipandu oleh orang lain, syarikat insurans berhak untuk menolak tuntutan tersebut ataupun mengenakan excess kepada pemilik kereta.

Di Malaysia, pemilik kereta boleh menamakan satu pemandu (selain pemilik) untuk dimasukkan ke dalam polisi secara percuma. Nama tambahan pula akan dikenakan caj RM10 seorang.

Perlindungan semua pemandu

Perlindungan semua pemandu

Perlindungan ini berguna untuk kereta peribadi yang digunakan oleh melebihi tiga orang pemandu. Dengan perlindungan ini, ia akan memberi perlindungan kepada semua pemandu daripada risiko kemalangan.

Pada kebiasaannya, premium bagi perlindungan ini adalah RM20.

Perlindungan aksesori tambahan

Perlindungan aksesori tambahan

Sekiranya kereta dilengkapi dengan pelbagai aksesori tambahan yang bernilai, maka pemilik kereta dinasihat mengambil perlindungan tambahan ini.

Ini kerana, jika berlaku kejadian seperti kecurian atau kerosakan terhadap aksesori tambahan kereta yang diinsuranskan, maka pemilik boleh mendapatkan ganti rugi dengan membuat tuntutan daripada syarikat insurans.

Premium bagi perlindungan tambahan ini adalah 15% daripada jumlah aksesori yang dilindungi.  

Perlindungan tambahan rusuhan & kemusnahan awam

Perlindungan tambahan rusuhan & kemusnahan awam

Perlindungan ini akan melindungi kereta daripada kerosakan atau kehilangan yang diakibatkan oleh rusuhan dan kemusnahan awam. Pada kebiasaannya, kadar premium bagi perlindungan tambahan ini adalah sekitar 0.3% daripada jumlah yang diinsuranskan.

Perlindungan liabiliti undang-undang 

Perlindungan tambahan liabiliti undang-undang 

Terdapat dua jenis perlindungan liabiliti undang-undang di Malaysia

Liabiliti Undang-undang kepada Penumpang

Perlindungan ini melindungi pemilik atau pemandu tambahan daripada liabiliti undang-undang yang diambil terhadap pemandu oleh penumpang. Perlindungan ini adalah wajib bagi kereta yang masuk ke Singapura. 

Contoh: Jika kereta yang dipandu oleh anda terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan pada penumpang anda, mereka boleh bertindak menyaman anda jika terbukti kemalangan itu berpunca daripada kecuaian.

Dengan perlindungan ini, ia akan melindungi pemilik kereta daripada risiko ini dengan membayar kos kerugian yang ditanggung akibat liabiliti tersebut

Perlindungan Liabiliti Penumpang di sisi undang-undang

Perlindungan ini melindungi pemilik kereta terhadap sebarang tindakan liabiliti undang-undang ke atas kelalaian yang dilakukan oleh penumpang.

Contoh: Rakan yang anda bawa secara tiba-tiba bertindak membuka pintu kereta sehingga mengakibatkan kemalangan kepada penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu. Kesalahan yang dilakukan oleh rakan anda itu boleh menyebabkan anda disaman kerana telah menyebabkan kecederaan ke atas penunggang itu.

Pampasan untuk taksiran masa pembaikan (CART)

Perlindungan tambahan pampasan untuk taksiran masa pembaikan (CART)

Perlindungan ini memberi jaminan kepada pemegang polisi bahawa syarikat insurans akan membayar pampasan bagi masa di mana kenderaan kehilangan pengunaan. Tetapi pampasan hanya diberi jika anda bukan pihak bersalah dalam kemalangan tersebut.

Masa yang dibenarkan berdasarkan anggaran seorang adjuster bagi bilangan hari bekerja yang diperlukan untuk membaiki kenderaan akibat kemalangan, bukan bilangan hari kenderaan tersadai di bengkel.

Pampasan ini membolehkan penuntut insurans menyewa kereta pada hari-hari tersebut atau membayar tambang teksi. Premium tambahan bagi perlindungan CART adalah berbeza-beza mengikut syarikat insurans.

Beri perlindungan yang bersesuaian untuk kereta anda

Pastikan anda tahu tahap risiko dan penggunaan kereta anda. Dapatkan perlindungan yang secukupnya supaya anda tidak terbeban dengan risiko kewangan pada masa akan datang. Buat penambahan untuk mana-mana perlindungan tambahan kereta di atas sekiranya dirasakan perlu.

Untuk memperbaharui insurans, anda juga boleh melihat dulu pelan terbaik di platform online Bjak. Buat perbandingan antara 15 syarikat insurans yang disediakan, dan pilih satu yang terbaik dan bersesuaian untuk kereta anda. Minta sebut harga percuma dalam hanya 3 minit sekarang.

Comments are closed.