Fahami Jenis-jenis Polisi Insurans Kereta

Insurans kereta boleh diperbaharui dengan tiga jenis polisi. Ketahui jenis-jenis polisi insurans kereta yang ada menerusi artikel ini.

Insurans Kereta

Written by:

Sebagai pemilik kenderaan yang bijak, anda harus tahu bahawa bukan setiap insurans kereta adalah sama. Terdapat 3 jenis polisi insurans kereta yang boleh didapatkan di pasaran dan setiap jenis insurans memberi perlindungan yang berbeza.

Artikel ini akan menerangkan dengan lebih jelas mengenai ketiga-tiga jenis polisi ini untuk pemahaman anda.

Insurans Komprehensif

Insurans kereta komprehensif melindungi pihak pertama dan pihak ketiga

Insurans komprehensif menawarkan perlindungan yang paling menyeluruh kepada pemegang polisi. Ia juga dikenali sebagai insurans first party.

Ia memberi perlindungan kepada kenderaan bagi pelbagai situasi, seperti kerosakan, kebakaran dan kecurian. Insurans komprehensif juga memberi perlindungan kepada pihak ketiga.

Insurans komprehensif biasanya diwajibkan untuk kereta baharu dan kereta yang berusia sehingga 10 tahun. Bagi kereta yang berusia melebihi 15 tahun, kebanyakan syarikat insurans mencadangkan perlindungan insurans pihak ketiga, kebakaran dan kecurian (TPFT).

Insurans pihak ketiga, kebakaran dan kecurian

Insurans kereta pihak ketiga, kebakaran dan kecurian disyorkan untuk kenderaan berusia 15 tahun dan ke atas

Insurans pihak ketiga, kebakaran dan kecurian memberi perlindungan kepada kenderaan bagi kecurian dan kebakaran. Ia tidak mengandungi perlindungan yang lain seperti kerosakan dan kemalangan.

Jenis insurans ini biasanya lebih murah daripada insurans komprehensif dan lebih sesuai bagi kenderaan yang berusia tinggi dan kenderaan yang jarang digunakan.

Insurans pihak ketiga

Insurans kereta pihak ketiga hanya memberi perlindungan untuk pihak ketiga sahaja

Insurans pihak ketiga merupakan polisi yang paling asas boleh dimiliki oleh seseorang pemilik kenderaan. Di Malaysia, setiap pemilik kenderaan perlu memiliki sekurang-kurangnya polisi ini untuk memastikan kenderaan mereka sah digunakan di atas jalan raya. 

Pihak ketiga yang dimaksudkan dalam polisi ini adalah individu lain yang terlibat dalam kemalangan bersama anda (di mana kemalangan berpunca daripada anda). 

Polisi ini memberi perlindungan hanya untuk pihak ketiga termasuk kerosakan atau kerugian ke atas pihak ketiga akibat daripada kemalangan yang berpunca daripada kenderaan anda sendiri.

Secara dasarnya, polisi ini memberikan perlindungan yang sangat terhad kerana ia hanya boleh digunakan untuk tuntutan pihak ketiga sahaja, dan kerosakan pada kenderaan anda perlu dibaiki menggunakan wang poket anda sendiri.

Untuk memudahkan pemahaman anda, di bawah ini merupakan ringkasan bagi perbezaan di antara ketiga-tiga jenis polisi insurans kereta.

Perbezaan di antara polisi insurans kereta komprehensif, polisi pihak ketiga, kebakaran dan kecurian, dan polisi insurans pihak ketiga

Cara untuk memilih jenis perlindungan kereta

Di bawah adalah tiga faktor yang harus dipertimbangkan semasa memilih jenis perlindungan:

Usia kenderaan

Sebelum memilih jenis insurans untuk kereta anda, pastikan ia bersesuaian dengan usia kereta anda itu. Ini bagi mengelakkan ia daripada terlebih perlindungan atau terkurang perlindungan untuk kenderaan anda.

Sebagai contoh, jika kenderaan anda adalah kereta lama dan berusia lebih 15 tahun, anda boleh mengambil polisi pihak ketiga, kebakaran dan kecurian. Ini kerana, kos kerosakan pada kenderaan tersebut mungkin lebih murah dan boleh ditanggung oleh anda.

Manakala jika kereta anda adalah kereta baru dan baru berusia beberapa tahun sahaja, perlindungan insurans komprehensif adalah yang terbaik kerana ia boleh melindungi kenderaan anda secara menyeluruh. 

Kekerapan penggunaan kereta

Sekiranya kereta anda sering digunakan, anda dinasihati mengambil insurans jenis komprehensif kerana ia dapat memberi perlindungan yang lebih menyeluruh.

Sebagai contoh, bagi kereta berusia melebihi 10 tahun tetapi sering digunakan, insurans jenis komprehensif boleh melindungi kereta daripada keadaan kemalangan atau kecurian semasa digunakan di luar.

Jumlah perlindungan

Bagi kenderaan yang telah berusia lebih daripada 10 tahun tetapi masih bernilai melebihi RM10,000, anda digalakkan untuk mengambil perlindungan yang komprehensif bagi memastikan kenderaan anda dilindungi dengan secukupnya. Perlindungan komprehensif dapat mengelakkan pemilik daripada pembayaran pembaikan yang tinggi sekiranya diperlukan.

Pilih perlindungan insurans kereta yang bersesuaian dengan anda 

Setiap syarikat insurans menyediakan ketiga-tiga jenis polisi insurans kereta ini. Lihat ketiga-tiga kriteria yang telah dinyatakan di atas, dan tentukan jenis polisi yang bersesuaian bagi mengelakkan anda daripada terlebih mahupun terkurang perlindungan.

Anda juga boleh melihat serta mendapatkan pelan perlindungan insurans kereta yang terbaik melalui Bjak. Lebih 15 pilihan syarikat insurans disediakan untuk anda buat perbandingan dengan mudah dan pantas. Dapatkan dulu sebut harga percuma hari ini.

Comments are closed.